KAJANG – Polis sedang memburu seorang lelaki dipercayai terlibat dalam kejadian curi sebuah motosikal di parkir kenderaan Residensi Adelia, Bangi, awal pagi kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian hilang motosikal jenis Honda NSS250A itu kira-kira pukul 1.35 pagi.
“Siasatan di tempat kejadian telah dijalankan dan hasil semakan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) mendapati seorang lelaki yang bangsa tidak dapat dipastikan dipercayai melakukan perbuatan tersebut.
“Tindakan mengesan dan menangkap suspek sedang giat dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih tujuh tahun serta denda jika sabit kesalahan.
Sehubungan itu, Naazron menasihatkan orang ramai untuk menggunakan kunci tambahan bagi mengurangkan risiko kecurian motosikal.
“Sebarang maklumat berkaitan kejadian boleh disalurkan ke Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang di talian 03-89114243 atau pegawai penyiasat, Sarjan R. Ganesan di talian 012-6089180,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














