PETALING JAYA – LBS Bina Group Berhad (LBS) merekodkan prestasi kukuh bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, dengan peningkatan hasil sebanyak 8.3 peratus kepada RM1.6 bilion.
Sebahagian besarnya disumbang oleh segmen pembangunan hartanah yang menjana RM1.5 bilion, disokong kemajuan pembinaan yang lebih pesat di projek-projek pembangunan sedia ada khususnya di Lembah Klang seperti LBS Alam Perdana, KITA @ Cybersouth, Prestige Residence dan Projek Idaman.
Keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti yang dinormalisasikan (PATMI) daripada operasi berterusan naik kepada RM125.2 juta, iaitu peningkatan sebanyak 45.2 peratus berbanding RM86.3 juta pada tahun sebelumnya.
Pertumbuhan pendapatan turut dipengaruhi oleh asas perbandingan yang lebih rendah pada tahun sebelumnya, merangkumi kerugian pertukaran mata wang asing sekali (one-off) susulan penyelesaian pinjaman dalam Kumpulan berikutan pelupusan Lamdeal Investment Limited.
Mengulas keputusan tersebut, Pengerusi Eksekutif Kumpulan, Tan Sri Lim Hock San berkata, 2025 menandakan tahun pertama pelaksanaan Strategi 8 x 8, dan prestasi kewangan LBS mencerminkan keberkesanan pendekatan strategik berkenaan.
“Kami berjaya mencapai jumlah jualan sebanyak RM1.4 bilion tahun ini, melangkaui pencapaian RM1.3 bilion pada tahun sebelumnya.
“Momentum pelaksanaan projek yang stabil turut dikekalkan, dengan permintaan yang kukuh merentas pasaran utama dengan pembangunan di Lembah Klang terus menjadi tonggak utama keuntungan Kumpulan, disokong permintaan konsisten terhadap projek kediaman dan perindustrian.
“Selain itu, kami akan mengendalikan pembangunan di salah sebuah perbandaran berprestij Kwasa Damansara, dengan pelancaran dijadualkan bermula pada 2027. Kami juga teruja dengan jalinan usaha sama bersama Oriental Holdings Berhad untuk membangunkan projek bercampur bersepadu di Klebang, Melaka,” katanya dalam kenyataan semalam.
LBS turut mengumumkan pindaan dasar dividennya secara rasmi yang mana berkuat kuasa dari tahun kewangan 2025, Kumpulan telah meningkatkan nisbah pembayaran dividen minimum daripada 30 peratus kepada 40 peratus daripada PATMI.
Dengan komitmen untuk memperkasakan nilai pemegang saham, Lembaga Pengarah telah mengisytiharkan dividen interim pertama satu peringkat sebanyak 1.3 sen sesaham biasa, yang akan dibayar pada 20 Mei 2026.
Lembaga Pengarah turut mencadangkan dividen akhir satu peringkat sebanyak dua sen sesaham biasa, tertakluk kepada kelulusan para pemegang saham pada Mesyuarat Agung Tahunan akan datang. – KOSMO! ONLINE














