KUALA LUMPUR – CARiNG Pharmacy, Georgetown Pharmacy dan
Wellings Pharmacy di bawah BIG CARiNG Group, memperkenalkan koleksi Sampul Raya 2026 hasil kerjasamanya dengan artis visual autistik Malaysia, Danial Kushairi.
Ini adalah inisiatif ketiga-tiga farmasi tersebut untuk menyokong artis neurodivergen dan memupuk komuniti yang lebih inklusif melalui ekspresi kreatif.
Ketua Pegawai Pemasaran BIG CARiNH Group, Wong Siew Lai berkata, kerjasama dengan Danial mencerminkan komitmen berterusan Kumpulan itu untuk mewujudkan peluang bermakna bagi artis neurodivergent.
Menurut beliau, selepas inisiatif kalendar dan kerjasamanya pada perayaan terdahulu, projek sampul raya ini meneruskan perjalanan Kumpulan dalam mengiktiraf kreativiti sebagai bentuk ekspresi yang hebat.

“Kembalinya Danial sebagai artis pilihan menjadikan kerjasama ini lebih bermakna bagi kami. Karya beliau membawa keaslian, perspektif, kegembiraan dan kami berbesar hati untuk berkongsi bakat beliau dengan komuniti kami seiring sambutan musim perayaan dengan penekanan terhadap nilai inklusif dan kebersamaan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran sampul raya dan majlis berbuka puasa bersama Rumah Anak Yatim Shifa, Setapak di sini semalam.
Danial Kushairi adalah artis visual neurodivergent Malaysia yang terkenal dengan penggunaan warna yang terang dan tema yang diilhamkan daripada alam semula jadi serta warisan budaya.
Disahkan menghidap autisme, beliau mengekspresikan diri secara semula
jadi melalui seni, menggunakan warna dan bentuk untuk menyampaikan perspektif, emosi dan imaginasi. -KOSMO! ONLINE














