KUALA LUMPUR – Aksi kurang memuaskan yang ditampilkan dua pemain perseorangan lelaki negara selepas tersingkir awal pada Kejohanan Badminton Terbuka Jerman, semalam tidak boleh dijadikan kayu ukuran terutama mengenai persiapan skuad Piala Thomas 2026 di Horsens, Denmark yang membuka tirai pada 24 April hingga 3 Mei depan.
Kekalahan perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao dan Justin Hoh seawal pusingan pertama pada Terbuka Jerman di Mulheim, Jerman itu sekali gus mencetuskan reaksi kurang senang peminat badminton negara mengenai pulang skuad Piala Thomas selepas kejohanan tersebut hanya berbaki kurang dari dua bulan.
Pengerusi Jawatankuasa Prestasi Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Lee Chong Wei berkata, persiapan skuad Piala Thomas sedang berjalan dan apa sahaja keputusan yang dilakar pemain pada kejohanan antarabangsa akan di bawa ke perbincangan menyeluruh bersama jurulatih bertanggungjawab
Katanya, tempoh kira-kira hampir dua bulan sebelum Piala Thomas masih memberi ruang yang cukup luas kepada jurulatih mahupun pemain memperbaiki prestasi sebelum turun ke misi yang lebih besar.
“Prestasi sekarang kita tak boleh bandingkan terus sebab ada dua bulan lagi sebelum Piala Thomas. Sebelum Terbuka Jerman, saya ada bincang dengan Rexy Mainaky dan Kenneth Jonassen.
“Kita kena pilih pemain yang dalam keadaan terbaik untuk tahun ini. Justin tewas kepada pemain ranking 25 dunia, Lee Cheuk Yiu kita kena tengok macam mana nak perbaiki lagi,” katanya kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Piala Lee Chong Wei di ABM, Bukit Kiara di sini, hari ini.
Bekas bintang No. 1 dunia itu berkata, sebagai penasihat teknikal, dia enggan mengganggu program latihan yang telah disusun barisan kejurulatihan dan peranannya memberikan sokongan dari belakang.
“Kalau ada apa-apa yang tak kena, baru kita bincang bersama. Kita kena tanggungjawab sama-sama sebagai satu keluarga, sama ada menang atau kalah,” katanya.
Semalam, Jun Hao tewas kepada pemain No. 20 dunia, Chi Yu Jen dari Taiwan 21-18, 5-21, 20-22, manakala, Justin terpaksa akur kepada pemain No. 25 dunia, Lee Cheuk Yiu dari Hong Kong 17-21, 21-12, 8-21 di peringkat 32 terbaik Terbuka Jerman. -KOSMO! ONLINE














