SEREMBAN – Penghulu daerah Jelebu didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menyalahgunakan kedudukan untuk suapan keseluruhan bernilai RM3,620 bagi mendapatkan kontrak perkhidmatan syarikat milik adiknya pada 2018.
Tertuduh, Ismail Saari, 42, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Mohamad Kamil Nizam.
Mengikut tiga pertuduhan, tertuduh yang bertugas sebagai Pembantu Tadbir (Kewangan) Gred W22 di Jabatan Kerja Raya (JKR) daerah Seremban (ketika kejadian) telah menggunakan kedudukan untuk suapan bagi perniagaan syarikat milik adik kandungnya.
Ini termasuk kontrak perkhidmatan membekal makanan dan minuman bagi kegunaan di Bahagian Jalan serta Bengkel Pra-Audit Dalaman dengan nilai masing-masing RM280 dan RM340. Selain itu, kontrak perkhidmatan menyelenggara mesin perincih serta komputer dengan nilai RM3,000.
Tertuduh telah mengambil tindakan mencadangkan sebut harga syarikat adiknya sebagai pembekal bagi perkhidmatan tersebut kepada JKR daerah Seremban. Kesalahan itu dilakukan antara 2 Mac hingga 10 Oktober 2018 di JKR daerah Seremban.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di baeah Seksyen 24(1) akta yang sama.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Syairah Aqilah Khalil. Peguam tertuduh, Alif Ahmad Tarmiz memaklumkan anak guamnya kini bertugas sebagai Penghulu daerah Jelebu berpendapatan RM5,000. Kes disebut semula pada 6 April ini.-KOSMO! ONLINE














