PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang membabitkan empat buah negeri hingga pukul 6 petang ini.
Menurut MetMalaysia, cuaca buruk itu dijangka melanda beberapa kawasan di Semenanjung termasuk Sabah.
“Di Kedah, kawasan yang terlibat adalah Kulim dan Bandar Baharu, manakala di Perak meliputi hampir keseluruhan kawasan termasuk Kerian, Larut, Matang Dan Selama, Hulu Perak, Kuala Kangsar, Kinta, Kampar, Batang Padang dan Muallim,” katanya.
Turut terjejas di Pahang melibatkan kawasan Tanah Tinggi Cameron, Lipis dan Raub.
Sementara itu di Sabah, amaran hujan lebat melibatkan kawasan Pantai Barat (Ranau dan Kota Belud), Tawau (Tawau) dan Kudat (Kota Marudu dan Kudat).
MetMalaysia memaklumkan, amaran hujan lebat dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” lapor MetMalaysia. – KOSMO! ONLINE














