PETALING JAYA – Mangsa tragedi kebakaran yang meragut lima sekeluarga di Kampung Pamah Kulat, Jalan Ulu Dong awal pagi tadi dikenal pasti sebagai bekas pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Bentong yang sedang menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Pengerusi Mara, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, beliau amat terkesan dan cukup dukacita atas insiden yang berlaku sekitar pukul 3.44 pagi itu melibatkan seluruh keluarga Allahyarhamah Ruby Adira Batreisya Mohd Alawi, 17.
Menurut beliau, kebakaran dahsyat tersebut memusnahkan 100 peratus struktur rumah dan meragut lima nyawa sekeluarga termasuk kedua ibu bapa pelajar berkenaan.
“Insiden sekitar pukul 3.44 pagi itu melibatkan kebakaran sebuah rumah yang akhirnya meragut lima nyawa sekeluarga termasuk kedua ibu bapa pelajar.
“Kebakaran tersebut memusnahkan 100 peratus struktur rumah, selain turut membabitkan tiga buah kereta dan tiga motosikal yang hangus terbakar dalam kejadian tragis itu,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Tambah beliau, lebih menyentuh hati apabila kakak mangsa terselamat kerana sedang menuntut di matrikulasi, manakala adiknya tidak berada di rumah kerana menetap di asrama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dong.
“Pastinya ujian ini terlalu berat untuk dipikul, kehilangan insan tersayang dalam sekelip mata, apatah lagi melibatkan hampir seluruh ahli keluarga,” ujarnya.
Beliau berkata, Mara amat berdukacita atas insiden tersebut dan pihaknya akan menghulurkan bantuan sewajarnya serta memastikan kebajikan ahli keluarga yang ditinggalkan terus diberi perhatian.
“Marilah kita sama-sama menghadiahkan doa buat kesemua mangsa yang terkorban.
Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh mereka semua dan menempatkan mereka dalam kalangan hamba-Nya yang beriman.
“Semoga kakak dan adik yang ditinggalkan dikurniakan kekuatan luar biasa, ketabahan serta perlindungan daripada Allah SWT dalam menghadapi ujian yang amat berat ini,” katanya.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan lima sekeluarga maut selepas rumah mereka musnah dalam kejadian kebakaran awal pagi tadi.
Mangsa yang maut ialah pasangan suami isteri, Mohd Allawi Mohammad,57, dan Zaleha Ibrahim,45, serta tiga anak mereka iaitu Ruby Adira Batrisya,17, Ruby Adlina Banim, 14 dan Ruby Azyan Barizah,9.
Difahamkan dalam kejadian itu pasangan suami isteri dan seorang anak perempuannya ditemui mati di dalam bilik air manakala seorang remaja perempuan dan seorang kanak-kanak perempuan ditemukan rentung di garaj kereta. – KOSMO! ONLINE














