BANGI – Lagu nyanyiannya, Masuk Lagi dikatakan mengandungi maksud berbaur lucah, penyanyi dangdut sensasi Baby Shima bertegas, semua itu salah faham sebaliknya lagu tersebut hanya berkisar mengenai rombongan meminang.
Shima atau nama lengkapnya, Nor Ashima Ramli berkata tuduhan seni kata ‘double meaning’ seperti diperdebatkan timbul dan mencetuskan salah faham disebabkan orang ramai tidak menonton muzik video dendangan tersebut.
“Lirik masuk jalan elok-elok sayang, sudah lama dinda seorang, rombonganmu ingin masuk meminang.
“Secara harfiahnya, lagu Masuk Lagi menceritakan perjalanan seseorang ke rumah calon pilihan untuk pergi melamar.
“Tak ada apa pun sebenarnya, cuma orang salah faham kerana dalam video muzik ada memaparkan momen itu,”
katanya ketika ditemui di Majlis Santai Ramadan Hotel Tenera Bangi, semalam.
Ditanya sebab berdiam diri ketika isu terbabit hangat diperdebatkan, Shima menegaskan bukan melarikan diri tetapi enggan membalas kecaman disebabkan tidak mahu menghangatkan keadaan.
“Hal tersebut dibangkitkan sekitar bulan lalu yang juga menjelang Ramadan sekali gus membuatkan saya menunggu waktu sesuai sebelum tampil menjelaskan kekeliruan.
“Kalau kita tampil bersuara ketika isu tengah panas tentu orang akan bertambah marah, jadi saya pilih untuk bagi keadaan reda dulu.
“Lagipun ketika itu sudah hampir memasuki bulan puasa, biarlah keadaan tenang baru kita jelaskan perkara sebenar,” ujarnya.
Pada masa sama, Shima berkata tidak serik meskipun sering menjadi bahan kecaman malah isu itu juga tidak menghalangnya daripada mengeluarkan lagu baru lagi selepas ini.
Bagaimanapun, penyanyi yang popular di Indonesia itu akan memastikan seni kata pilihan lebih jelas agar tidak menjadi bahan perdebatan.
“Pemilihan lagu macam biasa, mana yang okey saya akan teruskan rakaman. Tahun ini kita akan hasilkan banyak lagu lagi.
“Tapi kita bagi lagu yang ‘direct’ supaya senang untuk orang faham, sebab ada sesetengah orang keliru dengan sesetengah lirik sebab lambat ‘pick up’.
“Jadi 2026 ini kita bagi seni kata lagu yang secara langsung, tiada lagi salah faham atau jadi punca perdebatan,” katanya.
Awal Januari lalu, single Baby Shima tular dalam media sosial gara-gara didakwa mempunyai lirik berunsur lucah sehingga mengundang reaksi kurang senang pendengar.
Malah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) turut memberi kenyataan menyatakan lagu seumpama itu bercanggah dengan nilai akhlak dan adab masyarakat. – KOSMO! ONLINE














