fbpx
KEADAAN kilang memproses getah dan plastik yang musnah dalam kebakaran di Taman Perindustrian Sengkang, Kulai, kelmarin.-Foto IHSAN BOMBA

Kilang plastik terbakar, 80 murid alami gejala kesihatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KULAI – Seramai 80 murid daripada dua buah sekolah yang terletak berhampiran dengan kawasan kebakaran sebuah gudang memproses getah dan plastik di Taman Perindustrian Sengkang di sini menunjukkan gejala kesihatan ringan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar, Ling Tian Soon berkata, 56 daripada mereka merupakan murid Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Kota Kulai, manakala 24 yang lain dari SK Taman Kota Kulai 2.

“Pejabat Kesihatan Daerah Kulai (PKD Kulai) telah menerima pemakluman bahawa terdapat beberapa sekolah yang mempunyai murid bergejala ringan seperti sakit kepala, batuk, sakit mata dan sesak nafas ringan.

“Sebagai langkah berjaga-jaga, Jabatan Alam Sekitar Malaysia (JAS) telah menempatkan peralatan pemantauan kualiti udara di dua lokasi sekolah terlibat bagi mendapatkan bacaan secara lebih terperinci dan berterusan.

“Setakat ini, tahap kualiti udara didapati berada pada paras normal dan terkawal,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Tambah Tian Soon, kesemua murid yang terlibat kini berada dalam pemantauan pihak kesihatan.

“PKD Kulai bersama agensi berkaitan akan terus memantau keadaan dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan orang awam sentiasa terpelihara.

“Orang ramai dinasihatkan agar tidak panik serta dapatkan pemeriksaan di fasiliti kesihatan berhampiran sekiranya mengalami gejala seperti sakit kepala berpanjangan, batuk yang teruk, iritasi mata atau kesukaran bernafas,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan sebanyak lima buah sekolah telah diarah tutup sementara susulan kebakaran tersebut iaitu SK Taman Kota Kulai; SK Taman Kota Kulai 2; Sekolah Agama Taman Kota Kulai; Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sengkang dan SJKC KULAI Besar.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI