KUANTAN – Kerajaan negeri akan menyalurkan bantuan sewajarnya kepada ahli keluarga mangsa yang terkorban dalam kejadian kebakaran sebuah rumah di Kampung Pamah Kulat di sini hari ini.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerajaan negeri juga akan memastikan kebajikan keluarga mangsa diberikan perhatian sepenuhnya.
“Saya merakamkan ucapan takziah dan simpati yang mendalam kepada seluruh ahli keluarga mangsa atas kehilangan yang amat besar dan menyayat hati ini.
“Semoga mereka diberikan kekuatan, ketabahan serta kesabaran oleh Allah dalam menghadapi ujian yang amat berat ini,”katanya.
Hari ini Kosmo! Online melaporkan lima sekeluarga maut selepas rumah mereka musnah dalam kejadian kebakaran di Kampung Pamah Kulat di Raub.
Mangsa yang maut dalam kejadian kira-kira pukul 3 pagi itu ialah pasangan suami isteri, Mohd Alawi Mohammad,57, dan Zaleha Ibrahim,45, serta tiga anak mereka iaitu Ruby Batrisya,17; Ruby Adlina Banim,14, dan Ruby Azian Barizah,9.-KOSMO! ONLINE














