KOTA BHARU – Kerajaan negeri Kelantan sedang mengkaji semula arahan empat jenis perniagaan besar yang diwajibkan menutup operasi pada 1 Syawal selepas ia tidak dikuatkuasakan secara menyeluruh pada tahun lalu.
Empat jenis perniagaan itu merangkumi pasar raya besar atau hypermarket, pasar raya (supermarket), kedai serbaneka dan restoran makanan segera.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Kelantan, Hilmi Abdullah berkata, kajian itu dijalankan selepas pihaknya menerima banyak rungutan daripada pekerja pasar raya yang berharap arahan wajib cuti itu dikembalikan bagi membolehkan mereka menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga.
“Bagaimanapun, kita juga perlu mengambil kira keperluan pihak pasar raya yang mempunyai perjanjian dengan pembekal pada hari tertentu apabila premis tersebut perlu dibuka di seluruh negara.
“Itu adalah ikatan antara pembekal dan pasar raya besar. Bagaimanapun, saya sudah mengarahkan Bahagian Kerajaan Tempatan di bawah Pejabat Setiausaha Kerajaan untuk membuat kajian semula dan menilai implikasi sepenuhnya,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Hilmi memberitahu, hasil kajian semula dan pengesyoran daripada bahagian tersebut akan dibentangkan pada Mesyuarat Mingguan Exco Kerajaan Kelantan yang akan datang sebelum sebarang pengisytiharan dijalankan.
Menurutnya, keputusan itu penting bagi memastikan kepentingan pekerja dan pihak perniagaan seimbang dan tidak menjejaskan kelancaran operasi perniagaan.
Kosmo! sebelum ini melaporkan, empat jenis perniagaan besar diwajibkan menutup operasi pada 1 Syawal sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri di Kelantan pada tahun lalu.
Hilmi berkata, keempat-empat jenis perniagaan itu diwajibkan tutup operasi pada raya pertama bagi membolehkan pekerja beragama Islam meraikan Aidilfitri bersama keluarga dan menjalankan tanggungjawab sebagai Muslim.
“Kerajaan negeri berharap semua premis perniagaan dapat mematuhi peraturan yang telah ditetapkan. Pemilik premis perniagaan boleh dikompaun sekiranya melanggar peraturan yang ditetapkan,” katanya. – KOSMO! ONLINE














