MELAKA – Taktik sindiket menyembunyikan rokok seludup di premis baiki cermin terbongkar dalam tiga serbuan dijalankan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Melaka membabitkan nilai keseluruhan rampasan RM1.84 juta termasuk cukai.
Pengarah JKDM Melaka, Roslan Yusoff berkata, hasil risikan, serbuan telah dilakukan pada 11 Februari lalu di sebuah premis yang memaparkan papan tanda pusat membaiki cermin kereta di kawasan Melaka Tengah.
“Di sebalik perkhidmatan membaiki cermin kereta itu, kita menemui 746,200 batang rokok pelbagai jenama di dalam stor premis.
“Kesemua rokok itu dianggarkan bernilai RM558,157 termasuk cukai dan dipercayai disimpan untuk pasaran tempatan,” katanya pada sidang akhbar di pejabat JKDM Melaka di Ayer Keroh, di sini, hari ini.
Katanya, dalam serbuan lain, pihaknya merampas 818,600 batang rokok pelbagai jenama bernilai RM624,263 termasuk cukai di sebuah premis tidak berpenghuni.
“Hasil pemeriksaan mendapati sebahagian rokok ditampal setem cukai kastam palsu, manakala selebihnya tiada sebarang setem cukai.
“Jumlah keseluruhan rampasan rokok bagi kedua-dua premis ialah 1,564,800 batang dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” ujarnya.
Tambahnya, selain rokok, pasukan JKDM turut merampas 88,270 kilogram sisa elektronik (e-waste) bernilai RM660,000 dalam pemeriksaan empat kontena di Pelabuhan Utara Klang, Selangor.
Katanya, dokumen menunjukkan kontena diimport oleh dua syarikat tempatan di negeri itu, namun muatan sebenar diikrarkan secara tidak tepat dan dipercayai dibawa masuk tanpa permit sah dari negara ASEAN.
Ujarnya, seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 40-an yang mewakili ejen perkapalan turut ditahan bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.-KOSMO! ONLINE














