PETALING JAYA – Parti Keadilan Rakyat (Keadilan) Pahang akan segera menyalurkan bantuan awal kepada waris mangsa tragedi kebakaran yang mengorbankan lima nyawa sekeluarga di Raub, Pahang pagi tadi.
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Keadilan Pahang, Datuk Ahmad Farhan Fauzi berkata, bantuan tersebut sebagai tanda solidariti dan keprihatinan parti dalam membantu meringankan beban yang ditanggung keluarga mangsa.
“Saya mewakili seluruh keluarga besar Keadilan Negeri Pahang ingin menzahirkan rasa dukacita yang amat mendalam atas tragedi kebakaran yang mengorbankan lima nyawa sekeluarga di Raub, pagi tadi.
“Tragedi ini merupakan satu kehilangan yang cukup besar bukan sahaja buat warga Raub, malah buat seluruh rakyat negeri Pahang. Kehilangan lima nyawa dalam satu keluarga secara serentak adalah satu ujian yang sangat meruntun jiwa,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Ahmad Farhan berkata, beliau turut mendoakan agar dua anak mangsa yang terselamat yang kini masing-masing sedang menuntut di Kolej Matrikulasi Gambang dan SMK Dong diberikan ketabahan, kesabaran, dan kekuatan iman yang setinggi-tingginya.
“Kehilangan mengejut seluruh ahli keluarga tercinta merupakan satu trauma yang amat berat untuk dipikul.
“Marilah kita sama-sama memanjatkan doa agar urusan mereka dipermudahkan. Takziah sekali lagi buat seluruh ahli keluarga. Semoga mereka tenang di sana,” katanya.
Terdahulu, dalam kejadian pagi tadi, lima ahli keluarga dilaporkan maut dalam kebakaran yang memusnahkan kediaman mereka di Raub, sekali gus meninggalkan dua anak yang terselamat.
Dalam kejadian itu, mangsa yang maut membabitkan pasangan suami isteri serta tiga anak mereka. – KOSMO! ONLINE














