NEW DELHI – Sesi solat tarawih di sebuah masjid di negeri Uttar Pradesh, India bertukar kecoh apabila pergaduhan tercetus antara jemaah gara-gara berebut pemanis mulut, lapor laman berita Asia Net News.
Kejadian berlaku di sebuah masjid di Jalan Hapur, Lohiyanagar.
Apa yang bermula sebagai pertengkaran kecil semasa pengagihan ladu, dengan cepat bertukar menjadi pergaduhan fizikal sekali gus mencetuskan panik dalam kalangan jemaah.
Menurut saksi, ketika kejadian, pihak masjid mengagihkan ladu untuk meraikan selesainya bacaan al-Quran.
Semasa pengagihan itu, perselisihan faham berlaku antara dua pemuda, menyebabkan mereka bertengkar sebelum ia bertukar ganas.
Saksi mendakwa, seorang jemaah diangkat dan dicampak ke tanah sebelum dia dipukul oleh beberapa orang.
Pergaduhan itu menimbulkan huru-hara di kawasan masjid, dengan penyokong kedua-dua pihak mula berkumpul.
Orang ramai yang hadir di tempat kejadian cuba campur tangan dan menghentikan keganasan, sebelum keadaan kembali tenang.
Polis Uttar Pradesh berkata, pihaknya sedang meneliti rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) dan video tular untuk mengenal pasti mereka yang terlibat. – AGENSI














