PETALING JAYA – Dua beradik yang terselamat dalam tragedi kebakaran meragut nyawa seluruh ahli keluarga mereka di Kampung Pamah Kulat, Jalan Ulu Dong, di Raub awal pagi tadi, ditawarkan sebagai anak angkat oleh Majlis Amanah Rakyat (Mara).
Pengerusi Mara, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, beliau sempat membuat panggilan video bersama dua beradik itu, Ruby Balqis Mohd Alawi dan Murqam yang kini kehilangan tempat bergantung dalam sekelip mata.
“Saya sempat video call (panggilan video) bersama Adik Ruby Balqis dan Adik Murqam yang kehilangan seluruh ahli keluarga dalam insiden kebakaran tragis awal pagi tadi.
“Melihat wajah anak-anak ini yang menahan tangis namun cuba untuk kuat, benar-benar meruntun hati saya. Rumah musnah. Kasih ibu dan ayah pergi buat selama-lamanya. Begitu berat ujian anak-anak ini,” katanya dalam satu hantaran di Facebook sebentar tadi.
Menurut beliau, kedua-dua beradik berkenaan dinasihatkan supaya terus tabah dan tidak berasa keseorangan walaupun diuji dengan kehilangan besar.
“Saya berpesan kepada mereka supaya terus kuat. Kuat demi arwah ibu dan ayah. Kuat demi masa depan yang masih panjang. Jangan sesekali rasa keseorangan.
“Insya-Allah, Mara akan membantu memastikan pendidikan anak-anak ini tidak terhenti walau sedikit pun. Saya telah menawarkan agar mereka dijadikan anak angkat Mara supaya kebajikan dan pelajaran mereka dipantau sepenuhnya,” ujarnya.
Tambah beliau, secara peribadi beliau turut menawarkan Ruby Balqis sebagai anak angkatnya sendiri dan akan menanggung sepenuhnya kos pengajian sehingga tamat universiti.
“Ini janji saya. Pendidikan mereka tidak boleh terkorban kerana tragedi ini,” katanya.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada Pengerusi Yayasan Pelajaran Mara, Datuk Seri Ismail Mohamed Said, Ketua UMNO Bahagian Raub, Datuk Abdul Aziz Mat Kiram, barisan kepimpinan UMNO Bahagian Raub serta Bahagian Pendidikan Menengah Mara yang pantas menghulurkan bantuan serta menyelaras tindakan segera.
Beliau turut memaklumkan telah mengarahkan Bahagian Pendidikan Menengah (BPM) Mara untuk melaksanakan solat sunat jenazah ghaib di kesemua 58 Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) sebagai tanda solidariti dan doa buat mangsa-mangsa kebakaran.
“Marilah kita sama-sama mendoakan agar roh mereka dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman,” katanya. – KOSMO! ONLINE














