REMBAU – Aktivis politik, Badrul Hisham Shaharin atau Chegu Bard nyaris maut selepas terlibat dalam kemalangan gara-gara cuba mengelak binatang di Kilometer 7.3, Jalan Chengkau – Pilin – Lubuk Cina di sini tengah malam tadi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Azmi Ali berkata, kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah malam itu berlaku ketika mangsa, Badrul Hisyam Shaharin, 47, memandu pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dan dapat perjalanan dari arah Universiti Teknologi Mara (UiTM) Rembau menuju Kampung Lada Chengkau melalui Jalan Chengkau-Pilin-Lubuk Cina.
“Sebaik sampai di lokasi kejadian, secara tiba-tiba terdapat seekor binatang yang tidak dikenal pasti melintas dari arah sebelah kanan ke kiri. Pemandu cuba mengelak ke kiri namun telah hilang kawalan dan kenderaan terbabas ke bahu jalan sebelah kiri serta terlanggar tiang jambatan lebuh raya.
“Akibat kejadian, tayar hadapan kiri pecah, rim hadapan kiri rosak, bumper hadapan pecah, bonet hadapan kemek, cermin hadapan pecah, lampu hadapan kiri pecah dan fender hadapan kiri kemek. Mangsa bagaimanapun tidak mengalami kecederaan,” katanya kepada Kosmo! di sini, hari ini.
Sementara itu, Chegu Bard dalam perkongsian di media sosialnya meluahkan kesyukuran tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Berakhirnya kisah “anak gajah” jentera tempur yang pernah beri khidmat dalam banyak aksi massa dan kerja kebajikan selama 13 tahun,” kongsinya.-KOSMO! ONLINE














