fbpx
Nabil menafikan dakwaan mengatakan kononnya hubungan dengan Fazura kini mendingin atau tidak lagi seperti dahulu.

‘Ada yang cuba lagakan, hubungan dengan Fazura sangat baik’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – “Hubungan saya dengan Fazura memang sangat baik.”

Tampil bersuara, pengacara dan pelawak Nabil Ahmad menegaskan hubungannya dengan aktres Nur Fazura berada dalam keadaan baik.

Menurut Nabil, 43, perkara tersebut sekali gus menepis dakwaan segelintir pihak yang mengatakan hubungannya dengan Fazura dingin.

“Kami sebenarnya pernah bekerjasama sebelum ini, antaranya dalam program Bujang Terlajak bersama Apek Senario.

“Apabila video lama itu dimainkan semula, barulah saya teringat dulu kami agak rapat juga.

“Jadi, apabila kami bertemu semula di Jakel, saya gembira kerana hubungan baik itu masih kekal antara kami,” katanya ditemui pada sidang media dan pelancaran lagu raya Nabila Razali berjudul, Tak Sabar Nak Raya di sini, semalam.

Ditanya sama ada menyedari lambakan komen mengenainya dan Fazura yang tular baru-baru ini, dia memberitahu tidak membaca hantaran dalam media sosial terutama Threads kerana enggan menjejaskan emosinya.

Ujarnya, dia juga tidak mempunyai akaun Threads sehingga hari ini sekali gus kurang mengetahui gosip mengenai dirinya dalam media sosial.

“Sejujurnya, saya memang tidak membaca apa yang diperkatakan, itu semua persepsi. Sebenarnya saya sengaja tidak mengikuti perkara sebegitu demi menjaga kesihatan mental.

“Tapi saya ada dengar mengenai pihak cuba melaga-lagakan, mewujudkan kebencian dan sebaliknya. Jadi, lebih baik tidak ambil tahu.

“Realitinya, apabila kami berjumpa secara bersemuka, hubungan kami sangat baik. Saya bersama duta Jakel lain antaranya Fazura, Que Haidar dan Kamal Adli semuanya boleh duduk semeja, bergelak ketawa dan bekerjasama,” katanya lagi.

Dalam pada itu, dia sempat mengulas mengenai keakraban hubungan Fazura dan Que selaku duta Jakel yang ketika ini tular dalam media sosial.

“Memang ada momen yang orang kata ‘cuteness overload’ (kecomelan melampau). Sebagai kawan, apabila melihat sesuatu yang berbunga-bunga di set, kita rasa seronok dan teruja melihat keserasian itu.

“Saya tidak pasti sama ada semua itu dirancang atau tidak tetapi apabila melihat mereka duduk dan berbual di sebalik tabir sementara menunggu kamera disiapkan, hubungan mereka kelihatan ikhlas, insya-Allah,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN