fbpx
Stesen Janakuasa Sultan Salahuddin Abdul Aziz di Kapar, Klang, Selangor

Stesen janakuasa bukan sekadar bekal tenaga, tetapi ‘rumah’ hidupan liar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KLANG – Stesen Janakuasa Sultan Salahuddin Abdul Aziz di Kapar, di sini yang berkapasiti 2,200 megawatt (MW) bukan sahaja menjana tenaga elektrik kepada penduduk di negara ini.

Malah, loji milik penuhnya TNB Power Generation Sdn. Bhd. (TNB Genco), dan syarikat pegangan majoritinya dalam Kapar Energy Ventures Sdn. Bhd. (KEV) berkeupayaan penjanaan daripada tiga bahan api gas, minyak dan arang batu itu juga bertindak sebagai infrastruktur yang mesra dengan alam sekitar dan hidupan liar.

Umpamanya, kolam abu di stesen itu telah menjadi tapak berteduh penting bagi burung pantai hijrah di sepanjang pantai barat Semenanjung Malaysia yang merupakan laluan penerbangan Asia Timur-Australasia yang menghubungkan 22 buah negara.

Setiap tahun, dari bulan Ogos hingga April pada tahun berikutnya, jutaan burung migrasi menempuh ribuan kilometer dari kawasan Artik di Rusia dan Alaska, singgah di Kapar untuk berehat dan mencari makanan sebelum meneruskan perjalanan ke Australia dan New Zealand.

Antara spesies burung yang ‘singgah’ di kawasan tersebut adalah jenis Kedidi Dian Besar – Great Knot (Calidris Tenuirostris) yang juga salah satu spesies burung migrasi
berstatus terancam yang telah direkodkan di kawasan persisiran Malaysia, termasuk kolam abu Stesen Janakuasa Kapar.

Berdasarkan pemantauan tahunan di bawah Asian Waterbird Census (AWC) oleh Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) merekodkan sebanyak 36,692 burung pantai di Kapar iaitu satu jumlah tertinggi yang pernah dicatat di Malaysia.

Beberapa spesies migrasi yang direkodkan di sepanjang pantai utara hingga tengah Selangor turut didapati manjadikan kawasan Kapar sebagai sebahagian daripada tempat persinggahan bermusim.

Antaranya adalah burung Kedidi Pasir Kendi (Curlew Sandpiper), Kedidi Timur (Far Eastern Curlew), Kedidi Kaki Hijau Berbintik (Nordmann’s Greenshank), Camar Kecil (Little Tern), Camar Sayap Putih (White-winged Tern), Kedidi Kendi (Eurasian Curlew), Kedidi Kerikil (Ruddy Turnstone) dan Kedidi Pisau Raut (Eurasian Whimbrel).

Sekali gus menonjolkan peranan Kapar dalam rangkaian habitat perairan yang lebih luas.

Selain itu, penemuan spesies seperti burung Bangau Tongtong (Painted Stork) dan Bangau Belukar Kecil (Lesser Adjutant) semakin meningkat, mencerminkan kepentingan Kapar dalam rangkaian habitat pesisir yang lebih luas dan ekosistem yang berkembang.

Kajian juga mendapati kira-kira 40 spesies burung pantai, termasuk tiga spesies yang terancam di peringkat global, satu spesies rentan dan tujuh spesies hampir terancam.

Melalui kerjasama erat bersama agensi kerajaan, penyelidik, NGO dan rakan pemuliharaan, TNB terus menyokong usaha perlindungan biodiversiti dan pemuliharaan habitat.

Dengan mengintegrasikan pertimbangan ekologi ke dalam operasi KEV, TNB menyokong perlindungan burung migrasi, di samping meningkatkan kesedaran alam sekitar dalam kalangan komuniti setempat melalui program pendidikan dan aktiviti interaktif.

KEV menunjukkan bagaimana aset penjanaan legasi boleh wujud bersama secara harmoni serta memperkaya ekosistem sekeliling, sekali gus mencerminkan komitmen TNB terhadap pengurusan alam sekitar yang bertanggungjawab selaras dengan agenda peralihan tenaga di Malaysia.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN