fbpx
Rosmah

Rosmah cuti sakit selepas terjatuh, rayuan ditangguh ke 3 Mac

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Rayuan akhir isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor untuk menggugurkan Hakim Mahkamah Tinggi dalam kes rasuah projek solar dihadapinya ditangguhkan ke minggu depan.

Ia berikutan apabila Rosmah, 74, sedang cuti sakit selama empat hari selepas terjatuh.

Perkara itu dimaklumkan oleh peguamnya, Datuk Jagjit Singh pada prosiding yang sepatutnya didengar oleh panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Datuk Nordin Hassan yang bersidang bersama-sama Datuk Che Ruzima Ghazali dan Datuk Azimah Omar.

“Anak guam saya turut mengalami kecederaan pada tangan dan lutut ketika cuba menahan diri daripada terjatuh,” kata peguam itu yang turut memaklumkan Rosmah telah diberikan cuti sakit bermula 24 hingga 28 Februari ini.

Mahkamah kemudiannya menetapkan pendengaran rayuan tersebut pada 3 Mac ini.

Selain Jagjit, turut mewakili Rosmah ialah Datuk Akberdin Abdul Kader manakala pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mangaiarkarasi Krishnan.

Terdahulu dalam prosiding sama, panel sama menolak permohonan pasukan peguam Rosmah untuk mengetepikan Hakim Nordin dan Hakim Che Ruzima daripada mendengar rayuan akhir itu.

Permohonan yang dikemukakan pada saat akhir itu dibuat atas alasan kedua-dua hakim itu pernah mendengar satu lagi rayuan Rosmah berkait penyingkiran mendiang Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Seri Gopal Sri Ram daripada terus mengendalikan kes rasuah solar dan pengubahawan wang haran yang dihadapinya masing-masing pada tahun 2023 dan 2024.

Nordin: Anda peguam senior dan kita sudah lama saling mengenali. Adakah benar-benar wujud bahaya berat sebelah?
Jagjit: Maafkan saya, Yang Arif tetapi ini arahan daripada anak guam saya.

Nordin: Adakah anda menyatakan anak guam tidak selesa dengan kehadiran kami berdua dalam panel ini? Anda mesti menasihati anak guam, ini mahkamah undang-undang. Semua orang bertindak berdasarkan undang-undang.

“Kami telah mendengar kedua-dua permohonan untuk mengetepikan dua ahli panel dan kami dapati tiada sebarang risiko berat sebelah (no real danger of bias) sehingga memerlukan kami menarik diri. Kami mempunyai tanggungjawab untuk mendengar kes ini,” kata Hakim Nordin.

Pade 17 September 2025, Mahkamah Rayuan menolak permohonan Rosmah untuk menggugurkan Hakim Datuk Mohamed Zaini Mazla (Kini Hakim Mahkamah Rayuan) daripada ters mendengar kes rasuah projek solar dihadapi wania itu selepas mendapati permohonan tersebut tiak mempunyai sebarang merit.

Pada 1 September 2022, Hakim Mohamed Zaini telah memutuskan bahawa Rosmah bersalah atas tiga pertuduhan rasuah membabitkan projek solar hibrid RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak dan memerintahkan wanita itu dihukum penjara 10 tahun dan denda RM970 juta.

Sebelum keputusan tersebut diberikan, Rosmah telah memfailkan permohonan itu sama atas alasan beliau meragui integriti Hakim Mohamed Zaini ekoran insiden pembocoran dokumen penghakiman yang disiarkan oleh sebuah portal berita.

Laporan portal bertajuk ‘Rosmah Mansor Will Be Pronounced Guilty On 1st September 2022′ dan ‘Download Or View The 71-Page Judgement And Guilty Verdict On Rosmah Mansor Here‘ yang disiarkan pada 26 Ogos lalu, kemudian tular di media sosial.

Dalam afidavit sokongannya, Rosmah terkejut kerana alasan penghakiman kes projek solar itu telah siap dan disediakan oleh pihak ketiga, bukannya hakim berkenaan.

Hakim Mohamed Zaini sebelum menolak permohonan tersebut menyatakan, segala penghakiman dibuat sendiri olehnya selepas membuat kajian sendiri.

Ujar hakim itu, beliau telah menulis lebih 200 penghakiman dan penghakiman bocor itu bukanlah alasan penghakiman yang ditulisnya sendiri. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI