MADRID – Real Madrid boleh dianggap seperti harimau terluka menjelang aksi timbal balik playoff Liga Juara-Juara Eropah (UCL) menentang Benfica di Santiago Bernabeu awal pagi esok selepas tewas 1-2 kepada Osasuna dalam saingan La Liga pada Ahad lalu.
Kekalahan itu pastinya menjadi pembakar semangat buat pemain-pemain Los Blancos untuk melakukan kebangkitan dengan menewaskan Benfica meskipun sudah mencatat kemenangan 1-0 pada perlawanan pertama.
Jurulatih Real, Alvaro Arbeloa menegaskan, pemain-pemainnya langsung tidak terkesan dengan kekalahan kepada Osasuna sebelum ini kerana menganggap kalah dan menang sebagai adat dalam pertandingan.
“Tidak ada sesiapa yang suka untuk kalah tetapi ia tidak menjejaskan fokus serta semangat pemain-pemain Real Madrid. Saingan musim ini masih panjang, jadi ada masa untuk kembali mendapatkan rentak kemenangan.
“Apa yang pasti, kami perlu bekerja keras dalam latihan dan memperbaiki setiap kelemahan yang ada kerana kami akan berdepan satu perlawanan yang sangat penting pada Rabu ini (awal pagi esok),” katanya.
Perlawanan itu dijangka mendapat perhatian seluruh dunia dan berlangsung dalam situasi panas memandangkan pemain sayap Benfica, Gianluca Prestianni didakwa melakukan provokasi perkauman terhadap Vinicius Junior.
“Saya harap semua pemain berada dalam keadaan cergas dan sedia untuk memberikan segala-galanya di atas padang. Saya menaruh sepenuh kepercayaan kepada mereka bagi membawa pasukan ke pusingan kalah mati,” ujar Arbeloa. – AGENSI














