fbpx
Mangsa ditemukan dalam keadaan berlumuran darah di hadapan lobi sebuah bangunan komersial di Jalan Kelawai, pagi tadi.

Polis giat buru suspek tetak mangsa hingga parah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GEORGE TOWN – Polis giat memburu sekumpulan suspek yang bertindak menetak seorang lelaki hingga parah sehingga tangan kanan mangsa hampir terkulai dalam kejadian di hadapan lobi bangunan komersial di Jalan Kelawai di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berhubung kejadian membabitkan seorang mangsa lelaki warga tempatan, kira-kira pukul 8 pagi tadi.

Menurutnya, siasatan pihak polis di tempat kejadian mendapati mangsa berusia 33 tahun telah mengalami kecederaan parah akibat ditetak sekumpulan lelaki dipercayai warga tempatan yang menunggang motosikal di hadapan lobi bangunan berkenaan.

“Mangsa telah dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan lanjut dan pihak polis sedang giat memburu suspek-suspek yang bertanggungjawab terhadap kes ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini, petang tadi.

Beritahu Abdul Rozak lagi, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian berlaku diminta menghubungi Pegawai Penyiasat kes, Inspektor Muhammad Muhaimin Muthar ditalian 014-342 1292 untuk membantu siasatan.

Terdahulu, tular rakaman video memaparkan insiden seorang lelaki dipukul sekumpulan lelaki sehingga kepalanya mengalami kecederaan parah, manakala tangan kanannya hampir terputus dalam kejadian dipercayai berlaku di salah sebuah pusat beli-belah di sini, hari ini.

Video berdurasi 29 saat saat itu memaparkan dua lelaki bertopi keledar memukul lelaki terbabit dipercayai menggunakan senjata tajam di pekarangan luar premis berkenaan sebelum meloloskan diri dengan membonceng motosikal.

Menerusi satu lagi video yang berdurasi 17 saat, kelihatan mangsa berlumuran darah duduk di luar premis berkenaan dalam keadaan kepalanya parah manakala tangan kanan terkulai akibat ditetak suspek terbabit. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN