fbpx
Anggota SPRM Pulau Pinang mengiringi suspek untuk mendapatkan perintah reman di Mahkamah George Town, hari ini. Foto oleh DANIAL SAAD/ KOSMO!

Pesara kerajaan direman kes salah guna kuasa tender syarikat isteri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GEORGE TOWN – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang menahan reman seorang pesara pihak berkuasa tempatan (PBT) selama lima hari bermula hari ini, bagi membantu siasatan kes salah guna kuasa melalui syarikat isterinya membabitkan jumlah kira-kira RM700,000.

Menurut sumber SPRM, lelaki berusia 56 tahun dan merupakan bekas Penolong Jurutera Kanan itu ditahan semasa hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Pulau Pinang di Jalan Sultan Ahmad Shah di sini, kira-kira pukul 1 tengah hari semalam.

“Siasatan mendapati suspek dipercayai telah menyalahgunakan kedudukannya untuk mendapatkan habuan menerusi tender pembekalan serta kerja-kerja penyelenggaran dan pembaikan kenderaan di bawah selian agensi berkenaan, antara tahun 2024 hingga 2025.

“Suspek dipercayai melakukan perbuatan itu dengan menggunakan syarikat milik isterinya, membabitkan jumlah kira-kira RM700,000,”katanya di sini, hari ini.

Jelas sumber lagi, suspek baru sahaja bersara pada tahun lalu dan perbuatan tersebut dipercayai dilakukannya semasa tempoh penjawatannya sebagai kakitangan di agensi berkenaan.

“Suspek direman sehingga 1 Mac ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 kerana salah guna kedudukan untuk mendapatkan suapan,” ujarnya.

Terdahulu, suspek dibawa ke Mahkamah Sesyen George Town dalam keadaan kedua-dua tangan bergari dan memakai kemeja-t lokap SPRM, kira-kira pukul 9 pagi tadi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI