KUALA NERUS – Seorang kontraktor syarikat pembersihan di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) maut selepas motosikal berkuasa tinggi ditunggangnya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan pikap di Jalan Wakaf Tembesu di sini hari ini.
Dalam kemalangan pada pukul 11.50 pagi itu, mangsa, Muhammad Anuar Hashim, 34, meninggal dunia akibat kecederaan parah pada bahagian kepala dan beberapa anggota badan.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, sewaktu kejadian, Muhammad Anuar dikatakan dalam perjalanan ke tempat kerjanya di kampus UniSZA, Gong Badak dari rumahnya di Teluk Pasu, di sini.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal berkuasa tinggi jenis Ducati Monster 795 yang ditungganginya dikatakan gagal mengelak lalu merempuh sebuah kenderaan pikap jenis Nissan Navara.
“Sewaktu kejadian, kenderaan pikap dipandu peniaga wanita berusia 51 tahun tersebut dikatakan tiba-tiba keluar simpang,” katanya di sini hari ini.
Azli berkata, mayat Muhammad Anuar telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu untuk tindakan lanjut.
Beliau berkata, pemandu kenderaan Nissan Navara yang dikatakan dalam perjalanan ke sebuah kedai barangan plastik di Wakaf Tembusu dari rumahnya di Permaisuri, Setiu pula tidak mengalami sebarang kecederaan. – KOSMO! ONLINE














