MELAKA – Seorang pengetua sekolah agama direman lima hari bermula hari ini selepas disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM10,000 sebagai balasan meluluskan tuntutan bayaran berkaitan pembekalan makanan untuk pelajar, dua tahun lalu.
Perintah reman sehingga 1 Mac itu dikeluarkan oleh Majistret Mahkamah Ayer Keroh, Uthman Abd. Ghani terhadap suspek yang berusia 40-an bagi membolehkan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Terdahulu, menurut sumber suspek telah ditahan kira-kira pukul 3 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Melaka.
“Siasatan awal mendapati suspek disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM10,000 secara tunai daripada seorang pemilik syarikat sebagai balasan meluluskan tuntutan bayaran berkaitan pembekalan makanan bermasak.
“Suspek dipercayai telah mengarahkan syarikat terbabit untuk membekal makanan bermasak bagi pelajar-pelajar isntitusi berkenaan tetapi pembekalan itu dibuat tidak sempurna,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Melaka, Datuk Adi Supian Shafie ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut. – KOSMO! ONLINE














