SHAH ALAM – Pengarah syarikat pembinaan didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas dua pertuduhan menjalankan urusan syarikat tanpa keizinan mahkamah selepas pernah disabitkan kesalahan jenayah.
Tan Siew Moi, 60, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rasyihah Ghazali.
Berdasarkan kedua-dua pertuduhan, wanita itu yang sebelum ini disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan pada 2 Februari 2024 didakwa secara curang menandatangani dua cek milik sebuah syarikat sebagai pengarah tanpa mendapat keizinan mahkamah.
Perbuatan tersebut dilakukan di sebuah premis sekitar bandar raya ini pada 29 Ogos 2024.
Dia didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 198(1)(c) Akta Syarikat 2016 (Akta 777) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 198(7) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda tidak melebihi RM1 juta atau kedua-duanya sekali.
Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Muhammad Akmal Azmi mencadangkan jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan.
Namun, jumlah itu dirayu dikurangkan sebanyak RM5,000 oleh Peguam Muhammad Denial Khairul Hizam mewakili Tan.
Mahkamah kemudian menetapkan kadar ikat jamin sebanyak RM7,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin tempatan.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 8 April depan. – KOSMO! ONLINE














