PETALING JAYA – Polis mengesahkan kerja-kerja pemindahan patung berhala di Kuil Sri Uchimalai Muniswaran dilaksanakan tanpa sebarang insiden tidak diingini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, proses itu berlangsung pada pukul 9.30 malam semalam hingga 4.12 pagi, hari ini.
Menurutnya, seramai 10 penganut bersama wakil pengurusan kuil terlibat dalam kerja-kerja pemindahan kesemua empat patung berhala di premis berkenaan.
“Pemilik tanah juga memulakan kerja pembersihan tapak kuil tersebut pada awal pagi selepas urusan pemindahan selesai dilaksanakan oleh pihak pengurusan kuil.
“Sepanjang proses itu berlangsung, tiada sebarang insiden yang tidak diingini berlaku dan keadaan dipantau oleh pihak polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau mengingatkan semua pihak supaya menghormati saluran perundangan sedia ada dan tidak mengambil tindakan sendiri yang boleh menggugat keharmonian kaum dan agama.
“Sebarang pertikaian hendaklah diselesaikan mengikut prosedur yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan dan pemilik tanah yang sah.
“Pihak polis juga akan memantau ketat sebarang penularan maklumat di media sosial dan memberi amaran keras terhadap penyebaran kandungan berbaur 3R (agama, bangsa dan raja) yang boleh mencetuskan kegusaran awam,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














