KOTA BHARU – Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) akan mengambil sampel jualan kuih onde-onde, air balang dan hidangan bersantan secara rawak di seluruh bazar Ramadan di negeri ini bermula esok.
Pengarahnya, Datuk Dr. Mohd. Azman Yacob berkata, sampel tersebut diambil berikutan ia merupakan menu yang berisiko mempunyai bakteria sekali gus menyebabkan keracunan makanan.
“Onde-onde, air balang dan hidangan bersantan ini kadang-kala dilihat elok semasa dijual, namun mungkin ada benda yang kita tidak nampak sehingga boleh menyebabkan keracunan makanan.
“Keputusan sampel makanan itu akan diperoleh dalam seminggu hingga dua minggu. Jika jualan mereka ada mempunyai bakteria, tindakan akan diambil kepada peniaga tersebut,” katanya pada sidang akhbar selepas Program Walkabout Bazar Ramadan Peringkat Negeri Kelantan di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd. Azman memberitahu, pemeriksaan tersebut akan tertumpu terhadap premis menjual makanan seperti onde-onde, air balang dan menu berasaskan santan.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, JKNK juga akan melakukan pemeriksaan awal di kilang memproses ayam, ais dan premis menjual santan yang membekalkan bahan mentah itu kepada peniaga bazar Ramadan di negeri ini.
Menurutnya, ia melibatkan pemantauan menyeluruh di 48 pusat pemprosesan ayam, 30 pembekal santan dan 27 kilang memproses ais. – KOSMO! ONLINE














