fbpx
Kereta peronda polis yang rosak selepas dilanggar suspek yang cuba melarikan diri di Jalan Sungai Layar, Sungai Petani malam tadi.

Lari 10km sebelum langgar kereta polis, orang awam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SUNGAI PETANI – Hanya kerana cukai jalan kereta tamat tempoh seorang lelaki sanggup memecut kenderaan sejauh lebih 10 kilometer bagi mengelak ditahan semasa dikejar anggota daripada Unit Kereta Peronda (MPV) di Tikam Batu, di sini malam tadi.

Dalam kejadian itu, lelaki tempatan berusia 22 tahun terbabit bertindak merempuh kenderaan polis dan sebuah kereta orang awam sebelum berjaya ditahan di Jalan Sungai Layar.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, pihaknya menerima permohonan bantuan dari sebuah MPV yang sedang mengejar sebuah kereta sekitar pukul 10.10 malam.

menurutnya, suspek yang memandu kereta jenis Proton Saga FL memecut laju dari Jalan Kuala Ketil hingga ke Tikam Batu sebelum berpatah balik ke Taman Sri Tanjung di Sungai Layar.

“Ketika melalui taman perumahan, suspek telah melanggar sebuah kereta jenis Proton Saga milik seorang wanita yang diparkir di garaj dan melarikan diri sambil dikejar dua kereta peronda polis.

“Suspek kemudian terserempak sebuah lagi kereta peronda polis yang datang untuk memberi bantuan dan telah melanggar bahagian tepi MPV itu sebelum ditahan di lokasi, katanya hari ini.

Hanyan berkata, akibat kejadian itu kenderaan peronda jenis Honda Civic mengalami kerosakan di bahagian kanan termasuk pintu bahagian penumpang belakang kemek.

“Kereta milik penghuni Taman Seri Tanjung itu rosak di beberapa bahagian belakang manakala kereta dipandu suspek turut mengalami kerosakan di bahagian kanan.

” Pemeriksaan di lokasi kejadian tidak menemui sebarang bahan terlarang atau senjata berbahaya di dalam kereta berkenaan melainkan cukai jalan kereta tersebut yang didaftarkan atas nama abangnya telah tamat tempoh,” katanya.

Suspek di bawa ke IPD Kuala Muda bersama kenderaan terlibat dan ujian saringan air kencingnya mendapati dia negatif dadah selain tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Kata Hanyan suspek dalam proses permohonan reman untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN