MIAMI, FLORIDA – Sebuah pesawat milik syarikat penerbangan American Airlines terpaksa digantung operasi selepas kakitangan penyelenggaran menemukan beberapa kesan peluru pada sayap kapal terbang, lapor akhbar The Sun UK.
Kerosakan itu ditemui pada sayap pesawat Boeing 737-8 MAX semasa pemeriksaan rutin, namun jumlah keseluruhan kesan peluru tidak didedahkan.
Pesawat tersebut berlepas dari Miami ke Lapangan Terbang Antarabangsa Jose Maria Cordova di bandar Medellin Ahad lalu sebelum perkhidmatannya digantung semalaman di Colombia.
Ia mendarat di Miami, negeri Florida pada pukul 10.24 pagi (waktu tempatan) pada keesokan hari sebelum kru penyelenggaraan menjalankan pemeriksaan rutin.
Semua penumpang telah diturunkan daripada pesawat semasa penemuan mengejutkan itu.
Kru menemukan kesan tusukan pada aileron kanan iaitu permukaan kawalan penting yang berfungsi untuk mengendalikan olengan dan memastikan keseimbangan sisi pesawat.
Jurucakap American Airlines berkata: “Pesawat itu digantung operasi untuk pemeriksaan dan pembaikan lanjut.
“Kami akan bekerjasama dengan agensi berkaitan untuk menyiasat insiden ini,” kata jurucakap itu. – AGENSI














