SEREMBAN – Mahkamah Majistret di sini hari ini menetapkan 20 Mei ini untuk menjatuhkan hukuman terhadap remaja lelaki bawah umur yang memandu Honda Jazz secara berbahaya hingga menyebabkan kematian tiga mangsa di Senawang tahun lalu.
Peguam, Johan Radzi berkata, hukuman ditangguhkan berikutan laporan perubatan dan akhlak remaja berusia 18 tahun itu masih belum siap dan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) perlu membuat rujukan silang dengan pihak hospital.
Hukuman ke atas remaja itu sepatutnya diputuskan hari ini bagi laporan akhlak dan fakta kes memandang tertuduh merupakan pesalah muda. Terdahulu, pesalah muda itu hadir ke mahkamah dengan berkerusi roda dan ditemani ahli keluarganya.
Prosiding kes hari ini berjalan di hadapan Majistret Nurul Azuin Mohd. Talhah, manakala pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Khairunnisa Zainudin. Turut hadir Pegawai Perintah Khidmat Masyarakat JKM, Faizudin Ahmad Zaini.
Kosmo! melaporkan pada 17 Disember lalu melaporkan, seorang remaja lelaki mengaku bersalah atas pertuduhan memandu Honda Jazz secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian Muhammad Aidil Ramdan Abdullah, 15, Muhammad Aswari Lotpi, 16, dan Aisar Azim Abdullah, 17. – KOSMO! ONLINE














