LIVERPOOL – Pengurus interim Manchester United, Michael Carrick memuji impak yang diberikan oleh penggempurnya, Benjamin Sesko yang muncul wira ketika meledak gol tunggal menewaskan Everton 1-0 awal pagi semalam.
Sesko gagal menembusi kesebelasan utama skuad kendalian Carrick sejak enam perlawanan lalu, namun dia berjaya meledak tiga gol dalam empat penampilan sebagai pemain gantian dan ia dianggap jaringan penting.
Pemain berusia 22 tahun itu berjaya meledak gol kemenangan pada lewat permainan ketika menentang Fulham, malah dia juga membantu United mengelak kekalahan ketika menyumbat jaringan penyamaan pada masa kecederaan bertemu West Ham United.
Jaringan yang dihasilkan United awal pagi semalam melibatkan kombinasi tiga pemain mereka yang bernilai £200 juta (RM1.04 bilion) apabila gerakan bermula menerusi Matheus Cunha yang melakukan hantaran jauh untuk Bryan Mbeumo yang melakukan lorongan mudah yang disudahkan Sesko.
Kemenangan itu membolehkan United kini melonjak ke kedudukan keempat memintas Chelsea yang tercicir mata selepas terikat menentang Burnley sekali gus mengukuhkan kedudukan mereka ke saingan Liga Juara-Juara musim depan.
“Ia adalah penyudah yang ‘kejam’, saya gembira apabila melihat dia melakukan penyudah tersebut penuh dengan keyakinan. Permulaan gerakan yang baik daripada Matheus dan Bryan melakukan ‘set-up’ yang sempurna dan disudahkan oleh Ben. Dia masuk dan mencipta perbezaan,” katanya.
Sejak dikemudi oleh Carrick, United berjaya meraih tiga aksi tanpa bolos dalam enam perlawanan terakhir berbanding sebelum kehadirannya apabila pasukan itu bolos 27 kali dalam 29 aksi.
“Everton menyukarkan kami, menyebabkan kami terpaksa bertahan dalam kotak penalti sendiri, namun semangat kami sangat luar biasa. Senne (Lemmens) begitu mengagumkan, ketenangannya menyelamatkan kami dalam beberapa momen penting,” jelasnya. – AGENSI














