KULAI – Dua buah sekolah di daerah ini ditutup sementara susulan kebakaran sebuah kilang di kawasan perindustrian Sengkang, di sini bermula hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Dan Penerangan negeri, Aznan Tamin berkata, dua sekolah berkenaan ialah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sengkang dan SJKC Kulai Besar.
Katanya, dua buah sekolah itu telah diarahkan untuk ditutup sementara sehingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak, berdasarkan nasihat serta penilaian keselamatan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Kulai (PKD).
“Hasil pemantauan pihak berkaitan mendapati masih terdapat asap serta bau pembakaran di kawasan sekolah yang berpotensi menjejaskan kesihatan warga sekolah sekiranya sesi persekolahan diteruskan dalam keadaan semasa.
“Justeru, pihak sekolah diminta untuk melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dan sentiasa mematuhi sepenuhnya garis panduan serta arahan yang ditetapkan oleh PKD dari semasa ke semasa,”katanya.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan kebakaran sebuah kilang memproses getah melibatkan sebuah stor plastik jenis separuh kekal dengan anggaran kemusnahan lebih kurang 80 peratus, semalam.
Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan kebakaran berjaya dikawal pada pukul 8.37 malam tadi.
Kerja-kerja pemadaman kebakaran diteruskan pada hari ini dengan membabitkan bantuan daripada pelbagai agensi.
Aznan memberitahu, sekolah yang ditutup ialah SJKC Sengkang yang melibatkan 178 murid, 16 guru dan tiga Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) manakala SJKC Kulai Besar yang melibatkan 1,353 murid, 71 guru dan lima AKP.-KOSMO! ONLINE














