fbpx
Kawasan Buana Perdana, Petaling Jaya yang dilanda banjir kilat susulan hujan lebat berterusan sejak petang tadi. Foto IHSAN JBPM SELANGOR

Buana Perdana banjir kilat, paras air cecah lutut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Kawasan Buana Perdana, di sini dilanda banjir kilat susulan hujan lebat berterusan sejak petang tadi sehingga menyebabkan beberapa laluan utama tidak dapat dilalui kenderaan.

Menerusi perkongsian pengguna TikTok, air naik mendadak sekitar pukul 5 petang dan menenggelamkan kawasan jalan rendah serta sebahagian perumahan.

Paras air dilaporkan mencecah buku lali dan lutut di beberapa lokasi, sekali gus memaksa pengguna jalan raya berpatah balik demi keselamatan.

Terdapat penunggang motosikal yang cuba meredah banjir untuk meneruskan perjalanan, namun ada yang memperlahankan kenderaan bagi mengelakkan enjin dimasuki air.

Sementara itu, kejadian berasingan turut dilaporkan di Jalan Gasing, PJS 6 apabila kawasan tersebut dinaiki air sedalam kira-kira satu meter.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor menerima panggilan kecemasan pada pukul 5 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Petaling Jaya digerakkan ke lokasi.

Penolong Pengarah Operasi JBPM Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, pemeriksaan mendapati tiada mangsa terperangkap dan keadaan adalah terkawal.

“Paras air menunjukkan trend menurun dan pemantauan masih dijalankan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN