fbpx
Tangkap layar video memaparkan seorang wanita mengaku menghantar ibunya meminta sedekah di Bazar Ramadan Stadium Indera Mulia, Ipoh, Perak.

[VIDEO] Wanita didakwa hantar ibu minta sedekah di bazar Ramadan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Tindakan seorang wanita yang didakwa menghantar ibunya yang sudah uzur untuk meminta sedekah di sebuah bazar Ramadan mengundang rasa kecewa dan sebak dalam kalangan orang ramai.

Menerusi satu perkongsian tular di media sosial @Oppazuzurestaurant, seorang wanita warga emas berada di tengah panas sambil meminta sumbangan daripada pengunjung bazar di Stadium Indera Mulia, Ipoh, Perak.

Apabila pemilik video menghampiri, wanita yang dipercayai merupakan anak kepada warga emas terbabit kelihatan sedang memapah sambil melipat kerusi yang diduduki ibunya.
Bahkan video tersebut sempat merakam wanita tersebut mengakui warga emas itu merupakan ibunya dan sering melakukan kegiatan tersebut sebelum ini.

Namun wanita yang kelihatan sihat tubuh badannya itu kelihatan marah apabila ditanya dengan lebih lanjut mengenai situasi itu.

“Bukan suka-suka nak tularkan. Tapi kami anak-anak muda punya hati dan perasaan. Luluh hati kami bila nampak orang muda hantar orang tua minta sedekah di tengah panas. Dan dia mengaku dia adalah anak kepada orang tua itu.

“Bukan nak sibuk hal orang. Tapi kami tak sampai hati nak tengok orang tua dipergunakan di tempat kami mencari rezeki. Wajar ke seorang anak menghantar ibunya ke bazar Ramadan untuk meminta sedekah? Atau adakah seorang anak dibenarkan menghantar orang tuanya pergi meminta sedekah di bazar Ramadan?,” kata pemilik video itu.

Individu yang berkongsi video tersebut juga berharap pihak berkuasa dapat menyiasat perkara itu sekiranya wujud unsur eksploitasi atau sindiket memperdagangkan manusia.

“Kami berharap pihak berwajib yang nampak video ni akan mengambil tindakan yang tegas pada mereka yang mungkin daripada sindiket memperdagangkan manusia.

“Kami juga berharap agar pihak penganjur Bazar Ramadan dapat memantau serta mengambil tindakan tegas bagi menghalang sindiket ini daripada terus berleluasa,” katanya.

Situasi tersebut sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna media sosial yang rata-rata melahirkan rasa simpati terhadap warga emas berkenaan.

Ada yang berpendapat tindakan sedemikian, jika benar berlaku, adalah tidak berperikemanusiaan dan bercanggah dengan nilai tanggungjawab seorang anak terhadap ibu bapa.

“Akak yang dalam video ni, cubalah ada sifat kemanusiaan sikit, dia tu mak awak, awak tu gagah lagi, kerja lah cari duit yang letak dia mintak sedekah tu apa ke jadah,” komen Yattninas.

“Allahuakbar tergamaknya seorang anak perlakukan ibunya seperti ini. Sanggup pergunakan ibunya untuk minta sedekah. Tergamaknya kau seorang anak yang tak ada hati perut. Begini balasan kau pada orang tuamu,” komen Ninali.

Sehingga kini video tersebut telah meraih lebih 93,500 tontonan, 2,892 tanda suka dan 549 perkongsian. – KOSMO! ONLINE

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Oppa Zuzu (@oppazuzurestaurant)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN