TANGKAK – Seorang penunggang motosikal maut selepas terlanggar polis trafik yang sedang membuat pemeriksaan di lorong kecemasan Kilometer 170.1 Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara petang semalam.
Menurut Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintenden Roslan Mohd. Talib, pihak polis menerima maklumat mengenai satu kemalangan yang berlaku melibatkan seorang pegawai polis dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis (IPD) Tangkak dan menyebabkan kematian seorang lelaki berumur 38 tahun.
“Kemalangan yang berlaku pada kira-kira pukul 2.07 petang hanya melibatkan satu buah kenderaan iaitu sebuah motosikal jenis Suzuki DL650XA berwarna biru.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila penunggang motosikal tersebut telah terlanggar seorang pegawai polis yang sedang membuat pemeriksaan ke atas seorang lelaki di lorong kecemasan.
“Kejadian menyebabkan penunggang motosikal dan pegawai polis berkenaan mengalami kecederaan dan telah dikejarkan ke Hospital Jasin, Melaka untuk mendapatkan rawatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Roslan berkata, bagaimanapun, penunggang motosikal berkenaan telah disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Jasin.
Tambahnya, anggota polis trafik terlibat mengalami kecederaan di bahagian kaki, tangan dan kepala di mana dia dilaporkan setakat ini tiada kecederaan serius serta masih dirawat di hospital. Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – KOSMO! ONLINE














