LONDON – Pengurus Newcastle United, Eddie Howe teruja apabila pasukan sudah sebelah kaki untuk mencipta sejarah melangkah ke pusingan 16 terbaik saingan Liga Juara-Juara (UCL) menjelang aksi kedua playoff menentang Qarabag, awal pagi esok.
Sebagai rekod, skuad The Magpies hampir pasti lolos ke kelompok 16 kelab terbaik selepas melakar kemenangan bergaya 6-1 ke atas jaguh Azerbaijan itu pada aksi pertama di tempat lawan minggu lalu.
Menurut Howe, peluang untuk melangkah ke pusingan seterusnya cukup penting buat pasukan, tetapi dalam masa sama barisan pemain masih perlu melunaskan tanggungjawab untuk tampil profesional pada baki 90 minit perlawanan nanti.
“Pasukan memang terdesak untuk mara ke pusingan seterusnya kerana ia akan membuka lembaran baharu buat kelab ini. Bukan mudah untuk berada dalam kelompok 16 terbaik benua Eropah dan kita selangkah melakar sejarah.
“Dalam masa sama, saya harap barisan pemain tidak tertekan dan kekal fokus untuk memastikan misi kita meraih keputusan positif di laman sendiri dapat direalisasikan,” katanya.
Sementara itu, Howe mengakui pasukan bakal menagih impak penyerang utama, Anthony Gordon untuk terus merobek gawang Qarabag selepas menjaringkan 10 gol dalam kempen UCL musim ini.
“Saya rasa perubahan formasi melibatkan Gordon sangat menjadi kerana dia selesa bermain di posisi penyerang utama ketika ini. Dia dapat melakukan tekanan ke atas benteng lawan dan situasi ini membuka peluang untuk menjaringkan banyak gol musim ini,” katanya. – AGENSI














