RANTAU PANJANG – Sindiket penyeludupan tidak sempat mengaut keuntungan hasil jualan sebanyak 32 ekor lembu seludup apabila tiga daripada mereka ditahan dalam serbuan yang dijalankan oleh anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) di kawasan tebing Sungai Golok, di sini hari ini.
Serbuan dijalankan kira-kira pukul 5.15 pagi tadi semasa anggota tentera menjalankan rondaan di kawasan tanggungjawab Briged Kelapan Infantri Malaysia (8 Briged) di sini.
Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (Dua Divisyen) dalam satu kenyataan berkata, pasukan beroperasi pada awalnya mengesan tujuh lelaki membawa lembu menyeberangi Sungai Golok dari Thailand ke negara ini.

Menurutnya, selain itu, 10 lelaki bersama sebuah lori yang dipercayai untuk membawa lembu lembu tersebut sedang menunggu untuk memindahkan haiwan ternakan berkenaan.
“Anggota tentera bertindak mengepung kawasan tersebut sebelum menahan tiga lelaki berusia dalam lingkungan 36 hingga 43 tahun manakala yang selebihnya sempat melarikan diri dengan menyeberangi Sungai Golok ke sempadan Thailand.
“Sebanyak 32 ekor lembu tanpa sebarang dokumen sah, sebuah lori jenis Isuzu, sebuah kereta jenis Proton Saga dan lima buah motosikal dengan nilai keseluruhan dianggarkan berjumlah RM448,350 turut dirampas,” katanya.
Menurut kenyataan itu, pihaknya membuat laporan mengenai rampasan haiwan ternakan itu di Balai Polis Lubok Stol di sini.
Katanya, kesemua lembu itu diserahkan kepada pihak Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia Rantau Panjang manakala kes penyeludupan itu disiasat oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia. – KOSMO! ONLINE














