KUALA LUMPUR – Kedudukan 17 Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), termasuk Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin, yang didakwa bakal menyertai parti lain masih belum dapat diputuskan.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, sehingga kini pihaknya belum menerima sebarang pemakluman rasmi secara bertulis berhubung status sebenar Ahli Parlimen terbabit.
Menurut beliau, selagi tiada pengesahan hitam putih daripada pihak berkaitan, sebarang keputusan atau pengumuman tidak boleh dibuat.
“Sebaik sahaja kita terima pemakluman rasmi, barulah kita akan umumkan, termasuk melibatkan soal kedudukan tempat duduk di Dewan Rakyat.
“Buat masa ini, saya masih menunggu. Mungkin minggu depan kerana persidangan hanya berbaki dua hari lagi,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Ramah Mesra bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen, di sini malam ini.
Terdahulu, media melaporkan wujud spekulasi mengenai kedudukan 17 Ahli Parlimen Bersatu yang dikatakan bakal membuat keputusan politik bersama Hamzah, sekali gus menimbulkan persoalan tentang status mereka di Dewan Rakyat. – KOSMO! ONLINE














