fbpx
BIARPUN diberikan tentangan sengit, namun Aaron-Wooi Yik kekal fokus sebelum menang ke atas Boe-Sondergaard. - SHIDDIEQIIN ZON

Terbuka Jerman: Aaron-Wooi Yik kerja keras sebelum menang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik tidak berdepan laluan mudah apabila dipaksa bekerja keras sebelum meneruskan kemaraan ke pusingan kedua pada Kejohanan Badminton Terbuka Jerman di Mulheim.

Pada aksi pusingan pertama yang berlangsung di Westenergie Sporthalle sebentar tadi, bekas juara dunia itu memerlukan masa 40 minit untuk menewaskan beregu Denmark, William Kryger Boe-Andreas Sondergaard 21-16, 25-23.

Turun sebagai pilihan utama kejohanan, Aaron-Wooi Yik dilihat agak bergelut memandangkan ia merupakan kejohanan pertama mereka dalam tempoh sebulan selepas kali terakhir beraksi pada Indonesia Masters bulan lalu.

Selepas memenangi set pertama 21-16, beregu No.2 dunia itu bagaimanapun berdepan detik cemas di set kedua apabila Boe-Sondergaard mengheret mereka sehingga ke penentuan deuce, namun tuah memihak Aaron-Wooi Yik apabila menang 25-23.

Menjelang pusingan kedua nanti, bekas juara Asia itu akan menantikan pemenang perlawanan antara beregu Taiwan, Chen Cheng Kuan-Lin Bing Wei dan Julien Maio-William Villeger dari Perancis.

Terbuka Jerman yang merupakan saingan Jelajah Dunia Super 300 boleh dianggap sebagai aksi pemanas badan buat Aaron-Wooi Yik menjelang cabaran sebenar pada kejohanan All England di Birmingham bermula 3 hingga 8 Mac depan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN