JOHOR BAHRU – Taktik licik sebuah sindiket menjadikan rumah teres dua tingkat di Johor Jaya di sini sebagai pejabat urusan permohonan dan pembaharuan permit kerja warga asing akhirnya terbongkar dalam serbuan Ops Permit oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor, hari ini.
Premis yang beroperasi secara tersembunyi itu dipercayai menggunakan beberapa nama ahli keluarga sebagai proksi bagi mendaftarkan syarikat untuk mendapatkan kuota pekerja asing.
Lebih mengejutkan, pekerja asing yang didaftarkan kemudiannya ‘dibekalkan’ kepada syarikat lain yang memerlukan tenaga kerja dengan bayaran tertentu.
Bagi mengaut keuntungan lebih besar, semua pekerja terbabit ‘diikat’ dengan syarat proses pembaharuan permit wajib dilakukan melalui syarikat berkenaan dengan bayaran antara RM4,000 hingga RM5,000 setahun.
Sumber imigresen berkata, syarikat itu dipercayai mengawal kira-kira 2,300 pekerja asing dan mampu meraih keuntungan sehingga RM5 juta setahun hasil urus niaga berkenaan.
“Modus operandi sindiket ini terbongkar hasil aduan awam sebelum risikan dilakukan selama tiga hari oleh sepasukan pegawai imigresen,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurutnya, seorang lelaki tempatan yang juga majikan ditahan dalam serbuan tersebut.
“Hasil pengakuan awal, lelaki berkenaan mendakwa tidak mengetahui keberadaan sebenar pekerja asing yang didaftarkan di bawah syarikat itu kerana menyifatkan ia sebagai ‘permit bebas’, iaitu pekerja boleh bekerja di mana-mana lokasi,” jelasnya.
Siasatan terhadap empat pekerja asing yang turut ditahan mendapati mereka bekerja di sekitar Johor Bahru serta daerah lain termasuk Muar dan Batu Pahat.
Malah, tidak menolak kemungkinan terdapat pekerja berdaftar dengan syarikat itu yang bekerja di luar Johor.
Majikan terbabit ditahan di bawah Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966.
Sementara itu, empat pekerja asing terdiri daripada tiga warga Indonesia dan seorang warga Bangladesh ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Kesemua yang ditahan dibawa ke pejabat imigresen untuk siasatan lanjut. – KOSMO! ONLINE














