GEORGE TOWN- Polis membongkar satu sindiket pemprosesan dan penyimpanan dadah selepas menahan tiga lelaki tempatan serta merampas pelbagai jenis dadah bernilai hampir RM1.2 juta dalam beberapa serbuan di sekitar negeri ini, pada Jumaat dan Sabtu lalu.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, dalam serbuan pertama di Teluk Air Tawar, polis menahan seorang lelaki tempatan sebelum dibawa ke sebuah kediaman yang menjadi lokasi tempat pemprosesan dan penyimpanan dadah.
Katanya, hasil pemeriksaan, pihaknya menemui lima kilogram heroin dan 10.33 kilogram syabu yang diletakkan di dalam beg kanvas dan beg lutsinar.
“Suspek kedua ditahan di tepi jalan dalam Daerah Barat Daya dan pemeriksaan di sebuah lagi kediaman menemui heroin seberat 3,032 gram serbuk kafein (18.5 kilogram), serbuk penaik (2,032 gram), cecair kimia dan peralatan dipercayai digunakan untuk memproses dadah.
“Suspek ketiga yang juga merupakan ahli sindiket ditahan turut ditahan di daerah sama. Tiga buah kereta, dua buah motosikal serta barangan kemas dan wang tunai turut disita menjadikan nilai rampasan dadah dan nilai sitaan berjumlah bernilai RM1.17l,” katanya di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, ujian air kencing mendapati ketiga-tiga suspek negatif dadah namun salah seorang daripadanya memiliki satu rekod lampau berkaitan kesalahan jenayah.
“Ketiga-tiga suspek direman selama tujuh hari sehingga 27 Februari bagi membantu siasatan mengijut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. -KOSMO! ONLINE














