fbpx
Ahmad Zahid

Permohonan Ahmad Zahid lepas, bebas 47 pertuduhan didengar pagi ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Permohonan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk dilepas dan dibebaskan (DNAA) atas 47 pertuduhan dana Yayasan Akalbudi akan didengar di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Berdasarkan sistem kehakiman, prosiding pendengaran permohonan dijadualkan berlangsung pada pukul 9 pagi, di hadapan Hakim Nurulhuda Nur’aini Mohamad Nor.

Difahamkan prosiding akan dimulakan dengan hujahan daripada peguam, Datuk Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Ahmad Zahid yang mana peguam itu akan berhujah bagi membolehkan anak guamnya selaku pemohon diberi perintah DNAA.

Sementara prosiding seterusnya akan kepada hujahan daripada pihak pendakwaan selaku responden. Sekiranya mereka membantah perkara itu, mahkamah akan mengambil kira hujahan mereka supaya permohonan DNA ditolak.

Bagaimanapun jika pendakwaan tidak membantah permohonan DNAA itu peluang akan lebih cerah untuk Ahmad Zahid dilepas dan dibebaskan sepenuhnya.

Dalam prosiding terdahulu, Hisyam memaklumkan antara alasan permohonan tersebut ialah kes sudah lebih dua tahun namun anak guamnya di DNAA oleh Mahkamah Tinggi.

“Jadi tidak adil untuk seseorang… pertuduhan itu sentiasa tergantung. Dia perlu mencari kebenaran,” katanya.

Tambah Hisyam permohonan itu yang turut disertakan dengan sijil perakuan segera untuk didengar, diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) pada 30 Januari lalu.

Sementara itu Timbalan Ketua Pendakwaan II, Datuk Badius Zaman Ahmad ketika ditemui mengesahkan permohonan tersebut.

“Pihak kami menerima permohonan itu pada 30 Januari dan mahkamah mengarahkan pihak kami memfailkan afidavit jawapan pada 13 Februari ini,” kata Badius.

Menurut beliau, mahkamah kemudian menetapkan 24 Februari ini bagi pendengaran
permohonan itu.

Ahmad Zahid memfailkan permohonan itu di Mahkamah Tinggi pada 28 Januari lalu dengan menamakan AGC sebagai responden, dengan alasan Peguam Negara dalam satu kenyataan media pada 8 Januari lalu, memutuskan tiada tindakan lanjut (NFA) terhadap 47 pertuduhan berkenaan.

Pada 8 januari lalu, AGC memutuskan bahawa tiada tindakan lanjut (No Further Action) berhubung 47 pertuduhan kesalahan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan Ahmad Zahid.

Menurut AGC, keputusan itu sekali gus membawa kepada penamatan muktamad kes tersebut selaras dengan kuasa dan budi bicara Peguam Negara di bawah Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang berkaitan.

AGC berkata, pihaknya mendapati keterangan yang ada tidak mencukupi untuk menyokong meneruskan pendakwaan bagi kesemua pertuduhan tersebut.

Selain itu, pertimbangan dan penilaian dalaman pendakwaan yang direkodkan pada peringkat awal berhubung kesesuaian, dan kecukupan keterangan bagi menyokong pendakwaan serta kebolehkekalan penerusan pendakwaan,” katan kenyataan itu.

Penelitian turut melibatkan langkah-langkah siasatan lanjut dan terperinci yang kemudiannya dijalankan pihak SPRM bagi melengkapkan dan memperhalusi gambaran keseluruhan fakta, konteks dan keterangan baharu.

Ia turut meliputi dapatan hasil siasatan lanjut yang merangkumi keseluruhan tempoh penubuhan dan operasi Yayasan Akalbudi, termasuk aliran dan sumbangan dana ke dalam yayasan itu dari semasa ke semasa.

Terdahulu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 4 September 2023 melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) Ahmad Zahid daripada 47 tuduhan melibatkan kesalahan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan dana Yayasan Akalbudi.

Berikutan keputusan itu, siasatan lanjut dan terperinci dijalankan oleh SPRM yang merangkumi aspek berkaitan sumber dana, kaedah perolehan dan penggunaan dana tersebut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN