KUALA LUMPUR – Perdana Menteri menegaskan perjanjian Perdagangan Timbal Balik (ART) antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) masih belum berkuat kuasa ketika ini.
Ini kerana kata Datuk Seri Anwar Ibrahim, perjanjian tersebut masih tertakluk kepada proses ratifikasi mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.
Malah kata beliau, sehingga semalam, pihak AS belum mengemukakan sebarang cadangan tarif untuk melalui proses ratifikasi, sekali gus menyebabkan perkara itu masih tertangguh.
“Kita sedang memantau perkembangan ini dan mengambil maklum bahawa Presiden AS berkemungkinan menggunakan Seksyen 122 Akta Kuasa Ekonomi Kecemasan Antarabangsa Amerika Syarikat (IEEPA).
“Namun, masih belum dapat dipastikan sama ada Kongres AS akan bersetuju dengan keputusan Mahkamah Agung atau mengambil pendirian berbeza.
“Jadi, perintah eksekutif tentang tarif global baru ini, bagi saya, harus dipantau dari dekat dan melihat dari segi kepentingan ekonomi Malaysia,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) berkaitan pendirian Malaysia terhadap keputusan Mahkamah Agung AS yang mengisytiharkan tarif yang diperkenalkan oleh Trump sebagai tidak sah serta implikasi terhadap hubungan perdagangan Malaysia-AS.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, Malaysia akan meneruskan hubungan perdagangan antara kedua-dua negara kerana kerana apa yang dikenakan sebelumnya itu tidak kepada syarikat Malaysia.
“Kita tidak mahu dalam keadaan sekarang ambil keputusan yang gopoh, yang mungkin menjejaskan kepentingan perdagangan kita.
“Ini kerana eksport Malaysia ke AS adalah RM233.1 bilion, ini terlalu tinggi, dan perdagangan dua hala Malaysia dan Amerika Syarikat itu berjumlah RM367.5 bilion,” katanya. – KOSMO! ONLINE














