fbpx
Ahmad Zahid (tengah) ketika hadir di Mahkamah Tinggi hari ini. Foto oleh SHIDDIEQIIN ZON / KOSMO!

Pendakwaan tidak bantah permohonan lepas, bebas Ahmad Zahid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Pihak pendakwaan memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa Pendakwa Raya tidak membantah permohonan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk lepas dan bebas (DNAA) daripada 47 pertuduhan membabitkan dana Yayasan Akalbudi.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Ketua Bahagian Pendakwaan II, Datuk Badius Zaman Ahmad pada pendengaran di hadapan Hakim Nurulhuda Nur’aini Mohamad hari ini.

Semasa prosiding pendengaran itu, Badius Zaman berkata berikutan tiada bantahan, pihaknya tidak memfailkan afidavit jawapan terhadap permohonan tersebut.
“Saya hanya terima arahan untuk hadir hari ini bagi maklumkan tiada bantahan terhadap permohonan pemohon (Ahmad Zahid),” kata Badius Zaman.

Meskipun pihak pendakwaan tidak membantah, Badius Zaman memaklumkan bahawa Badan Peguam ada membuat bantahan terhadap permohonan tersebut.

“Kami telah diserahkan surat bantahan daripada Badan Peguam terhadap permohonan itu pagi ini dan kami serahkan kepada mahkamah terhadap bantahan tersebut,” katanya.

Sementara itu peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Ahmad Zahid berkata pihaknya membantah terhadap bantahan Badan Peguam berhubung permohonan anak guamnya.

Kata Hisyam Teh Badan Peguam tidak mempunyai locus standi (hak disisi undang-undang) dalam perkara tersebut dan tidak boleh hanya menyerahkan surat bantahan tanpa menyatakan peruntukan undang-undang.

Peguam itu seterusnya menegaskan bahawa satu-satunya perintah yang boleh diberikan oleh mahkamah ialah pembebasan penuh kerana Pendakwa Raya memutuskan untuk tidak meneruskan kes itu.

Selepas mendengar hujah daripada pihak-pihak mahkamah menetapkan 24 April ini bagi sambung pendengaran.

Sebelum ini Badius Zaman mengesahkan Pendakwa Raya ada menerima permohonan DNAA yang dikemukakan Ahmad Zahid selain mahkamah mengarahkan pihak kami memfailkan afidavit jawapan.

Pada prosiding lalu, Hisyam Teh berkata antara alasan permohonan DNAA tersebut ialah kes sudah lebih dua tahun, namun anak guamnya di DNAA oleh Mahkamah Tinggi.

Tambah Hisyam permohonan itu yang turut disertakan dengan sijil perakuan segera untuk didengar, diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) pada 30 Januari lalu.

Ahmad Zahid memfailkan permohonan itu di Mahkamah Tinggi pada 28 Januari lalu dengan menamakan AGC sebagai responden, dengan alasan Peguam Negara dalam satu kenyataan media pada 8 Januari lalu, memutuskan tiada tindakan lanjut (NFA) terhadap 47 pertuduhan berkenaan.

Pada 8 januari lalu, AGC memutuskan bahawa tiada tindakan lanjut (No Further Action) berhubung 47 pertuduhan kesalahan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan Ahmad Zahid.

Menurut AGC, keputusan itu sekali gus membawa kepada penamatan muktamad kes tersebut selaras dengan kuasa dan budi bicara Peguam Negara di bawah Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang berkaitan.

AGC berkata, pihaknya mendapati keterangan yang ada tidak mencukupi untuk menyokong meneruskan pendakwaan bagi kesemua pertuduhan tersebut.

Selain itu, pertimbangan dan penilaian dalaman pendakwaan yang direkodkan pada peringkat awal berhubung kesesuaian, dan kecukupan keterangan bagi menyokong pendakwaan serta kebolehkekalan penerusan pendakwaan,” kata kenyataan itu.

Penelitian turut melibatkan langkah-langkah siasatan lanjut dan terperinci yang kemudiannya dijalankan pihak SPRM bagi melengkapkan dan memperhalusi gambaran keseluruhan fakta, konteks dan keterangan baharu.

Ia turut meliputi dapatan hasil siasatan lanjut yang merangkumi keseluruhan tempoh penubuhan dan operasi Yayasan Akalbudi, termasuk aliran dan sumbangan dana ke dalam yayasan itu dari semasa ke semasa.

Terdahulu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 4 September 2023 melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) Ahmad Zahid daripada 47 tuduhan melibatkan kesalahan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan dana Yayasan Akalbudi.

Berikutan keputusan itu, siasatan lanjut dan terperinci dijalankan oleh SPRM yang merangkumi aspek berkaitan sumber dana, kaedah perolehan dan penggunaan dana tersebut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI