fbpx
Fadillah ketika di Dewan Rakyat hari ini. Foto Ihsan JAPEN

Meter pintar, DTM kesan 5,133 kes curi elektrik, kerugian RM41 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Sebanyak 5,133 kes melibatkan kecurian bekalan elektrik berjaya direkodkan sejak tahun 2021 sehingga tahun lalu dengan pengguna meter pintar serta sistem Distribution Transformer Meter (DTM).

Memaklumkan perkara itu, Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, jenayah tersebut melibatkan kerugian RM41 juta.

Jelas beliau, selain dari pengesanan melalui pemasangan DTM dan meter pintar oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB), teknologi dron dan ‘thermal handheld device’ turut digunakan untuk mengesan kes kecurian elektrik.
“Teknologi-teknologi ini membolehkan pengesanan haba berlebihan pada premis yang disyaki, untuk membantu mengenal pasti aktiviti perlombongan mata wang kripto yang dijalankan secara haram dengan lebih efektif.

“Pendekatan bersepadu bersama agensi penguatkuasaan, pelaksanaan program kesedaran awam dan sesi libat urus strategik secara berterusan merupakan langkah yang berkesan.

“Ia juga memastikan kerugian kepada industri perbekalan elektrik negara dapat diminimumkan serta keselamatan sistem tenaga terus terpelihara,”katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Lee Chean Chung (PH-Petaling Jaya) berkaitan jumlah kes kecurian elektrik yang berjaya dikesan melalui sistem DTM dan meter pintar setakat ini serta berapakah anggaran kerugian kewangan yang dialami oleh TNB akibat aktiviti haram tersebut.

Untuk rekod, sehingga tahun lalu sebanyak 5.56 juta meter pintar telah dipasang di seluruh Semenanjung.

Mengulas lanjut, Fadillah yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, pihaknya bersama Suruhanjaya Tenaga serta TNB sentiasa komited dalam membanteras aktiviti kecurian elektrik terutamanya dalam perlombongan bitcoin atau mata wang kripto.

“Aktiviti ini bukan sahaja mengancam keselamatan pengguna tetapi juga akan menjejaskankestabilan ekonomi negara, meningkatkan risiko keselamatan awam serta kerosakan harta benda.

“Selain itu, ia juga mencetuskan ancaman serius kepada sistem bekalan tenaga negara,”katanya.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN