KUALA LUMPUR – Seramai lima individu diberkas selepas dipercayai terlibat dalam kes merusuh menggunakan senjata sehingga menyebabkan seorang lelaki cedera di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pinggiran, Bukit Jalil, di sini Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Aidil Bolhassan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada mangsa berusia dalam lingkungan awal 20-an yang mendakwa diserang sekumpulan lelaki menggunakan sebilah pisau dan kayu besbol.
“Ekoran kejadian itu, mangsa mengalami luka di tangan dan dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan. Siasatan mendapati kejadian berlaku kerana tidak puas hati selepas salah seorang suspek menggunakan kata-kata kesat terhadap isteri mangsa,” katanya.
Beliau berkata, kelima-lima suspek yang berusia 18 hingga 40-an itu diberkas secara berasingan sejak 21 Februari lalu hingga semalam.
“Semakan mendapati tiga daripada suspek tersebut memiliki beberapa rekod lampau, namun bebas pengambilan bahan terlarang. Mereka direman sehingga esok untuk siasatan di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














