JURULATIH Selangor FC, Kim Pan-gon memuji mentaliti anak-anak buahnya untuk melakar kemenangan penting 1-0 ke atas Kuching City sekali gus kekal berada di kedudukan kedua Liga Super musim ini.
Menurut Pan-gon, keinginan besar barisan pemain untuk memburu slot Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) jelas selepas tidak berhenti menyerah dengan berusaha mencari gol kemenangan sehingga wisel penamat ditiupkan.
“Kita boleh lihat pemain menunjukkan kesungguhan yang luar biasa terutama pada babak kedua. Mereka kekal berusaha untuk mencipta peluang demi peluang sebelum berjaya menjaringkan gol penting.
“Saya sangat hargai pengorbanan yang diberikan oleh pemain terutama ketika menyambut bulan Ramadan kali ini.
“Mengenai sasaran untuk bersaing di peringkat Asia, ini bukan sahaja impian saya sebaliknya misi penting buat pemain semua dan mereka berjaya pastikan pasukan raih tiga mata yang cukup penting kali ini,” katanya.
Pada perlawanan kelmarin, skuad Gergasi Merah berjaya melakar kemenangan hasil jaringan tunggal yang dilakukan oleh Chrigor Moraes yang meledak gol ke-17 peribadinya pada musim ini.
Sementara itu, bekas pengendali Harimau Malaya dari Korea Selatan itu turut percaya pasukan kini mampu jadikan Stadium MB Petaling Jaya sebagai gelanggang keramat selepas kebal tidak tewas sejak 10 perlawanan lalu.
“Saya mahu cipta budaya bahawa sesiapa sahaja yang datang ke sini (Stadium MBPJ), mereka tidak akan berjaya (untuk menang). Kita cuba untuk jadikan gelanggang ini sebagai kubu kuat pasukan musim ini,” katanya.
Kemenangan itu menyaksikan skuad Merah Kuning kekal dikedudukan kedua dengan mengumpul 35 mata selepas 17 perlawanan, dua mata di hadapan Kuala Lumpur City FC dan empat mata meninggalkan Kuching di tangga keempat.














