fbpx
Keadaan di kilang perabot yang diserbu PGA Briged Utara di Kuala Kangsar hari ini.

Kilang perabot beroperasi tanpa lesen diserbu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA KANGSAR – Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Utara berjaya membongkar kegiatan sebuah kilang perabot yang beroperasi secara haram di Kawasan Perindustrian Meil di Ipoh hari ini, dengan nilai rampasan dianggarkan mencecah RM734,990.

Serbuan melalui Op Bersepadu Khazanah pada pukul 10.30 pagi itu disertai Pejabat Perhutanan Daerah Kuala Kangsar, Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Perak dan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar.

Komander Briged Utara PGA Ulu Kinta, Senior Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, serbuan itu dijalankan selepas risikan mendapati premis tersebut menjalankan aktiviti pemprosesan dan pembuatan perabot tanpa lesen.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati pemilik premis telah gagal mengemukakan permit atau lesen untuk mendirikan dan mengendalikan kilang perabot seperti diperuntukkan di bawah Seksyen 3(1) Enakmen Industri Berasaskan Kayu 1987 Negeri Perak.

“Dalam operasi itu, seorang lelaki tempatan dipercayai pemilik premis berusia 43 tahun ditahan bagi membantu siasatan.

“Turut dirampas dalam serbuan itu ialah pelbagai mesin dan kelengkapan yang digunakan untuk memproses dan menghasilkan perabot selain pelbagai jenis papan plywood dan perabot separa siap dengan jumlah rampasan dianggarkan sebanyak RM734,990,” katanya di Ipoh hari ini.

Menurut beliau, kes diserahkan kepada Pejabat Perhutanan Daerah Kuala Kangsar untuk tindakan lanjut dan disiasat di bawah Seksyen 3(1) Enakmen Industri Berasaskan Kayu 1987 Negeri Perak.

Katanya, sabit kesalahan, pemilik premis itu boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN