SEREMBAN – Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersedia melakukan reformasi keadilan negara dengan mengalihkan fokus daripada menghukum semata-mata kepada memulih secara tuntas Orang Diselia (ODS)
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ramai yang melihat institusi penjara sebagai noktah akhir, tetapi Pusat Reintegrasi Penghuni (PRP) adalah simbol titik mula.
“Melalui baki hukuman bawah tiga tahun, mereka dipersiapkan melalui Penyucian Jiwa serta Pemerkasaan Ekonomi melalui Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), kulinari, dan industri hiliran agar mereka keluar nanti tidak lagi mengemis peluang, tetapi membawa “bekalan” gaji dan kemahiran untuk keluarga,” katanya pada Majlis Penerapan Nilai – Nilai Murni Bersama Menteri Dalam Negeri di PRP Mantin di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Saifuddin menasihatkan masyarakat agar menghapuskan stigma terhadap ODS yang telah menjalani hukuman.
“Hentikan hukuman sosial. Apabila mereka keluar nanti, janganlah kita menjadi ‘penjara kedua’ buat mereka dengan pandangan sinis dan kata-kata nista. Kehadiran keluarga dan komuniti adalah ubat paling mujarab buat mereka.
“Saya mohon, jadilah ‘tangan yang menyambut’, bukan ‘telunjuk yang menghukum’.Apabila tembok penjara tidak lagi memisahkan mereka dengan dunia luar, janganlah kita pula membina ‘tembok stigma’ di dalam hati kita,” katanya. – KOSMO! ONLINE














