PETALING JAYA – Seramai 13 individu disyaki pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan Jabatan Imigresen (JIM) dalam operasi khas di tapak bazar Ramadan, Seksyen 13, Laman Niaga Komuniti, Bandar Baru Bangi, semalam.
Operasi bermula pukul 3.55 petang itu hasil maklumat dan pemantauan bagi memastikan pematuhan undang-undang imigresen sepanjang bulan Ramadhan di kawasan tumpuan awam seperti bazar ramadan.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Imigresen, Datuk Lokman Effendi Ramli berkata, dalam operasi itu, seramai 720 individu melibatkan 693 warga tempatan serta 12 lelaki dan 13 wanita warga Indonesia diperiksa di setiap 143 tapak bazar ramadan tersebut.
“Hasil pemeriksaan, JIM menahan seramai enam lelaki dan tujuh wanita warga Indonesia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kesemua yang ditahan berusia di antara 18 hingga 40 tahun dibawa dan ditahan di Depot Tahanan Imigresen untuk siasatan dan tindakan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” ujarnya. KOSMO! ONLINE














